Pages

Sunday, February 27, 2011

UiTM Alor Gajah : Tahniah Student Masscom Dengan Jeans Stylo Anda.



            Hari Rabu baru-baru ini saya ke UiTM Lendu Alor Gajah. Anjuran student Masscom. Katanya ada program berkenaan ‘Soal Asyraf’ di sana. Mereka memberi tema program berkisar komunikasi dalam Islam. Begitu juga persoalan dalam dunia penyiaran mengikut acuan agama. Walaupun aku bukanlah seorang Doktor yang mampu membentangkan kertas kerja berkenaan Messcom, namun aku menyahut cabaran kononnya aku super Diva.

            

Bila disebut budak ‘Masscom’ terbayang dalam gambaranku bagaimana budak messcom UiTM Shah Alam. Kata member aku, budak-budak messcom ni ‘WOW’. Aku pun tak tau apa maksud ‘WOW’ yang kawan aku gelar kepada mereka. Atau aku buat-buat tak tahu. Yang pasti dress up diorang memang ‘klass’. Tidak dinamakan messcom kalau rambut tidak stylo. Tidak dinamakan messcom kalau handphone tanpa kamera. Namun bukan semuanya sama. Tapi itulah kebiasaannya.

            Bila abang Najib yang jaga jadual aku call aku. Dia cakap aku ada program di UiTM Alor Gajah anjuran budak Messcom, aku terus cakap ‘on’. Ini satu peluang yang baik. Bukan sebab boleh tengok ‘cikaro’. Tapi boleh tambah ilmu baru bila join dengan budak Messcom. Mungkin serba sedikit tempias ilmu dunia ‘Glam’ mereka boleh dikongsi.

            Yang peliknya, tetibe sahaja Ashraff bekas PA yang dah ambil surat pencen dariku pun cakap nak join pergi Alor Gajah. Walaupun nama kami bunyinya sama (Asyraf dan Ashraff), namun itu bukan bermakna haluan lebuhraya kami sama.

“Abang Acab..saya nak ikut join pegi UiTM Alor Gajah boleh?” tanya Ashraff kepadaku.

“Tak boleh…dah ramai nak ikut. Abang Najib nak ikut. Mat lagi. Cukup 3 orang. Kereta penuh…heheh”. Aku menyakat seolah-olah kereta Exora hanya mampu disumbat 3 jejaka yang agak meletup ketika itu.

“Alaa…abang Acab…boleh la. Abang Acab kan baik, soleh, hensem, wangi dan bertatasusila” Ashraff merengek manja memuji. Dari suaranya yang sumbang itu jelas kedengaran suara yang langsung jauh dari keikhlasan.

“Abang Acab tak makan bodek kay…Bukan Abang Acab tak bagi ikut. Mat yang tak mau ajak ramai-ramai” Aku sengaja menambah peratusan aktiviti menyakat dengan menjadikan Mat sebagai alasan.

“Ala Mat ni…nak makan sorang la tuh!!!” Jerit Ashraff. Dia bincang soal menu la pulak. Aku mula pening. Apa tetibe cakap soal makan ni. Aku nak pergi ceramah. Bukan nak pegi makan.

“Makan ape plak nih.” Aku buat-buat tak paham. Pelik. Selalunya Ashraff sentiasa sibuk. Entah kenapa dia semangat Satu Malaysia nak pergi sangat ke UITM Alor Gajah.

“Hehe…abang Acab tak tahu. Awek UiTM Alor Gajah ‘tip-top’. Tambah budak Messcom. Pergh…” Ashraff bercakap seolah jus oren berada di depannya. Terdengar guguran air liur tanda kempunan.

“Astaghfirullah…niat pun dah jahat. Ada hati nak ikut Abang Acab. Betulkan niat dulu baru boleh ikut.” Aku bercakap umpama menjadi ahli Panel Forum Perdana Ehwal Islam.

“Ok la…saya ubah dengan segeranya. Niat saya nak pergi dengar ceramah Abang Acab. Sambil menambah ilmu boleh tambah pahala yang dah lama tak kunjung tiba.” Ashraff bercakap dengan penuh tawadduk dan rendah diri. Walaupun dirinya memang diakui orang yang tidak cukup inci (im veri sori Ashraff…hehe). 
Namun beliau still mahu merendah diri.

            Perbualan berbunga kami rupanya didengari Sang Puteri bernama isteri. Akak Husna menjeling dari jauh. Aku mengerti apa isi dan kulit hatinya.

“Abang…ayang pun nak ikut pi UiTM Alor Gajah.” Kak Husna senyum memujuk.

“Betul nak ikut? Tak percaya dengan abang ker? Kalau nak ikut, Abang ok jer…” Aku memberi keizinan melambangkan bersih halalnya aktiviti aku untuk digunakan tanpa was-was.

Entah mengapa dia pun berminat nak ikut. Adakah kerana ‘balak’ UiTM Lendu juga meletop? Heheh…Sudah pasti itu bukan insan bernama Husna yang penuh kesetiaan. Aku mengerti. Kebosanan duduk dirumah suatu rutin bulanan. Ditinggalkan suami setiap hari sesuatu yang terpaksa di lalui. Buat isteri. Suamimu memilih untuk dikongsi bersama umat. Semoga pengorbananmu diganjariNya.

            Akhirnya kami pergi ke UiTM Lendu Alor Gajah seramai 5 orang. Aku, Husna, Abang Najib, Ashraff dan Mat. Inilah sejarah aku pergi program bawa selori kawan. Aku tiada masalah. Cuma teringat pihak penganjur. Adakah akan bertambah mangkuk mee menjamu pengunjung yang tidak diundang.

            Sampai sahaja di UiTM Lendu Alor Gajah, suasana yang disetorikan oleh rakan-rakan sebelum ini seakan ada realitinya. Gaya berjalan, style berpakaian student UiTM Lendu ini memang hebat. Korang memang Vogue. Tapi aku sukakan remaja seperti mereka. Bijak berfesyen. Tahu di mana baju itu perlu diletakkan. Dan bagiku tidak salah berfesyen. Asalkan ada skema jawapan agama dalam menentukan fesyen yang dipilih. Asalkan anda tidak digelar  panggilan ‘Mat Skema’.

            Dalam mereka melontar soalan kepadaku berkenaan isu komunikasi dalam Islam. Aku teruja dengan sikap mereka. Keprihatinan mereka. Ambil pedulinya mereka dengan agama. Banyak perkara yang ingin aku kongsi. Namun masa terlalu ‘jealous’ dengan diriku.

            Aku kagum. Mereka memiliki kepakaran terutama dalam bidang broadcasting. Advertising, Publishing dan sebagainya. Namun masih banyak prinsip agama yang mereka tertanya. Mereka mula mencari titik pertemuan antara agama dan penyiaran.

            Stigma cerita agama perlukan watak seorang ustaz, perlukan tasbih dan kopiah digambarkan seolah ianya baru berbentuk rancangan agama. Sedangkan ciri-ciri akhlak yang baik dan mendapat restu agama itu sudah cukup membuatkan ianya rancangan agama. Jika jalan ceritanya menggambarkan keadilan, kesaksamaan, kasih sayang, percintaan suami isteri, maka ia juga selayaknya dipanggil rancangan agama.

            Teringat bagaimana cerita yang menggabungkan kepakaran antara orang broadcast dan sejarah ilmuan Islam menghasilkan filem yang cukup menginsafkan seperti ‘Lion Of The Desert’. Tahniah kepada student Messcom. Walaupun anda stylo dengan tali pinggang anda, namun anda tidak diam dari memikirkan corak dunia penyiaran menurut Islam. 

Berbanding aku yang ber’title’kan orang agama selesa menjadi pengkritik menunggu anda melakukan kesilapan. Lalu bulu tangkis yang tanggung itu aku ‘smash’ sedaya mungkin buatkan anda tertanya “Apa Salah kami”. Bukan salah seluar jeans anda sebenarnya. Namun salah aku sebagai orang agama yang selesa dikerusi pengkritik mengalahkan Adlin Aman Ramli.



Tuesday, February 22, 2011

Tangkak Johor : “I Terlupa Nak Pakai Prada”

Hari ini kereta kelisa Kak Husna selesai dipasang tinted. Kereta jambu yang penuh dengan aksesori yang berwarna pink. Bantal love dibelakang cermin. Di tali pinggang ada mashimaro pink. Lapik tempat duduk ada pink. Semuanya pink. Cuma body dan enjin saja warna lain. 



            Terkadang bila aku pergi ceramah di area KL, untuk jimat minyak aku gunakan kereta kelisa pink nih. Sehingga terpalit padaku ‘Ustaz Pinky’. Aku tak kesah. Pinky pun pinky lah. Yang penting jiwa still ada kepahlawanannya… Ehem ehem.

            Selesai hantar kereta kelisa ke rumah. Aku dan Mat terus memecut ala-ala Schumacher menuju ke Ledang Johor. Namanya pun sudah menunjukkan sebuah tempat yang mungkin dianggap ‘Lost World’.
            Keluar sahaja dari exit Tangkak, terus kami ke hotel yang sudah ditempah pihak penganjur. Hotel di tengah-tengah pekan Tangkak. Nama hotel terpaksa dirahsiakan. Bukan takut diserbu. Tapi ianya hotel yang sangat unik. Sampai sahaja di reception hotel.


“Saya nak bilik yang dah dibooking oleh cik ...@#$%...” tanya aku kepada penjaga kaunter.

“Owh…ni bukan Imam Muda Asyraf ker?” Tanya si comel molek di kaunter

“Lebih kurang macam tu lah” Jawab aku dengan malu-malu beruang.

“ Ada bilik yang ditempah. Awak ada berapa orang? Tanya si comel tadi.

“Dua orang saja. Dua2 lelaki. Heheh” aku bergurau dengan kononnya tiada maksiat akan berlaku.

“Tapi cik…bilik katil satu saja..king size” Kata penjaga kaunter sambil tersenyum amoi sebelahnya.

“Ok la tu satu katil…takkan nak 30 katil kot. Itu bukan bilik hotel. Itu bilik dorm. Lagipun dua2 laki.” Semangat aku menghurai walau tanpa dipinta.

            Kedua-dua awek penjaga kaunter tersenyum sinis. Aku tidak paham. Apakah disebalik senyuman mereka. Apa yang begitu lawak. Aku bukan artis Raja Lawak.
            Apabila berjalan menuju ke lif. Mata ini seolah2 terpaku. Terkejut dengan satu jelingan yang sangat indah. Dari bilik belakang pintu hotel. Bajunya iras-iras Lady Gaga. Cuma pada bahunya agak ketat saiz. Mungkin dia tersilap tempah. Kakinya berotot. Mungkin dia mewakili sekolah dalam sukan Sepak takraw. Namun, apapun saiznya, senyuman nya tetap menawan…hehe…

            ‘Wanita’ itu berjalan kucing menuju kepada aku. Perlahan-lahan aku merenung. Aku konfius. Apakah didalam perasaan hati ini. Seram bulu roma. Jantung bergetar. Adakah getarnya jantung kerana tergoda. Atau dek kerana terkesima. ‘Wanita’ itu berada di hadapanku.

“Ni Imam Muda Asyraf kan” Wanita itu meneka dalam suara bak ais kacang. Dicampur segalanya. Ada merdu ada juga garaunya. 

“Ya saya…Imam Muda…cik ni Ustazah Muda ka?” tanya saya seolah-olah tidak mengenali intan mahupun kaca.

“Amboooii…ustaz nih…suka bergurau dengan saya…pandai menyakat pulak tuh.” Menjeling manja ‘wanita’ tersebut. Sehingga tarik krem kaki aku dibuatnya.

“Owh…jadi ni bukan Ustazah Muda la yer…tersilap tekan nombor telefon la saya tadi…”

“Ustaz nih..nak mintak izin tangkap gambar boleh? Manala nak tahu, tengok gambar ustaz boleh insaf ker..hahah” Ketawa yang mengeluarkan suara sebenar identity ‘wanita’ tersebut.

“Awat tak boleh pulak. Nak tangkap tuan punya badan pun boleh..hahah” aku sengaja main tarik tali. Mat kawanku dah gelak bagai nak putus urat tekak. 

            Kami pun bergambar sekali. Yang menariknya dia dengan gaya tersendiri. Menghulurkan sebelah kaki ke depan. Sambil tangan menggantung hand bag mak datinnya. Wah..very vogue. 

“ Terima kasih ustaz…ada masa jumpa la Mas lagi ek di bawah hotel nih.” Dia dengan sengaja perkenalkan diri.

“Mas?...nama penuh aper..? takkan Mas jer..MAS Airline ker, Pisang Emas ker, Atau MASa itu emas..? tanya saya dengan exited.

“Malu lah ustaz…ustaz jangan marah ek..nama saya Masrizal sebenarnya…apa boleh buat ustaz..sy ni dari kecil lagi suka jiwa perempuan nih” Malu-malu tapi mahu dibuatnya ‘Wanita’ yang ada halqum depan aku berkhutbah.

            Lelaki rupanya manusia bertitle Mas. Ku pikirkan perempuan. Walaupun pada asalnya dalam hati ada syubhah dengan identitinya. Dia lari tersipu-sipu sambil mengawal keperibadian sopan santun  lemah gemalainya. Mas sentiasa menjaga adat-adat ketimuran seorang wanita melayu terakhir. Mas lari menuju kepada rakannya di belakang pintu hotel. Semuanya tertunggu-tunggu kehadiran Mas.
            Aku terdengar perbualan antara sesama mereka.

“Eiii..besnya dapat tangkap gambar dengan Imam Muda tuh” Kata Mas kepada rakan-rakannya.

“Wah Mas…terserlah kesolehahan You…hikihik..”ketawa rakan-rakannya yang sama lenggoknya dengan Mas.

“Tak sabar aku nak balik kampung tunjuk kat mak aku calon pilihan…OMG…Mungkin inikah pertemuan jodohku!!!” Hahahaha…ketawa besar semua mereka. Aku yang dari tadi tahan nafas terlepas segala ketawa yang tersimpan di perut. Peceh perut aku dan Mat gelak dengar telatah Mas and Da Geng. Tapi rupanya Mas seolah merengek tidak berpuas hati dengan gambar tadi. Mas memanggilku.

“Ustaz…!!!” panggil Mas dari jauh.

“Kenapanyer Mas…terlupa nak tanya nombor bilik saya ker?Hahah…aku bergurau.


“Isy2 ustaz nih..nakal tau..Bukan aper, gambar nih kureng skit la…” Jerit Mas seakan sedih.

“Kenapa? Tak clear ker kita tangkap tadi? Tanya saya.

“ Dak…hari ni saya tak cantik…Saya terlupa pakai Prada!!!!!”
   

Saturday, February 19, 2011

Lenggong : Kau Curi Minyak Keretaku



“Mat…esok aku ada program di MRSM Lenggong” Pesan aku kepada Mat
“Awatnya kalau Lenggong?...apa masalah aku?” Mat menjawab bak Hang Tuah yang derhaka.
“Aik..boleh tanya apa masalah pulak…hang kan nak ikut jadi driver aku esok? Aku dengan berlagaknya bagaikan Ahli Korporat besar.
“Baik bos!!...yang penting kita bawak mata kail pancing” Mat senyum kambing gurun tanda setuju.

            Aku dan Mat bukanlah antara bos dan majikan. Mat merupakan kawan baik aku. Dah berapa kali kami bermusafir bersama. Naik keretapi, bas, motor semuanya pernah dirasai. Dari sebelum Imam Muda lagi nama Mat Keping sudah lama aku kenali. Kampungnya di Kuala Nerang dengan nama yang amat perik. Kalau nak masuk ke kampung Mat confirm tahi lembu, tahi kambing malahan boleh jadi tahi singa akan melekat pada tayar kereta anda.

            Kami memulakan langkah ke Lenggong Perak dengan gagah beraninya. Entah berapa bukit kami daki. Berapa tasik kami renangi. Berapa gunung kami jajahi….ceh…bajet adventure kononnya.
            Sampai di Lenggong dan kami bermalam di Rumah Rehat Lenggong. Bolehlah dapat bilik superior orang support dalam nilai harga RM90 kalau hari biasa. Kira ok la bajet nih.

            Bila malam aku bertemu dengan pelajar di MRSM Lenggong. Dengan ceria mereka menyambut. Ceramah aku sampaikan dalam dua jam. Kerongkong habis kering. Suara dah bunyi ala-ala Ramli Sarip. Walaupun suaraku tanpa burdah dan tarannum. Tapi still kira ok la kalau nak diajak berduet dengan Justin Bieber…Hehehe..

            Besok paginya dengan keadaan suram dipagi hari. Aktiviti Qiyamullail. Yang menyebabkan adik-adik MRSM terkulai. Ada yang sujud terlalu lama sehingga Imam bagi salam masih bersujud. Mungkin banyak hajat dalam sujudnya…hehe.. Ada yang menyungkur di hujung saf dek kerana keletihan. Yang senior mula keluar dua tiga kali. Kata mereka air sembahyang asyik terbatal jer. Yang junior kepala mendongak kea rah spotlight dalam dewan sambil mata terpejam. Itulah perkara biasa bila kita buat aktiviti Qiyamullail.

            Kami bangun sembahyang subuh berjemaah. Yang lawaknya, kami semua terlupa nak iqamat. Biasalah..semua semangat sangat nak solat agaknya. Selesai kuliah subuh sesi yang paling best. Iaitu MAKAN. Dan diakhiri dengan berfoto-fotoan sesama cikgu-cikgi dan pelajar. Sekali lagi kuasa senyum Mickey Mouse aku mula memancar di pagi hari.

            Dalam perjalanan balik. Jam menunjukkan pukul 8.30pagi. Yang peliknya disini, kabus masih kelihatan. Cantik dan segar cuaca disini. Rasa sangat-sangat fresh air yang agak sukar kita terima di Bandar Kuala Lumpur. Tiba-tiba laluan yang kami lalui rupa-rupanya ada tasik. Apa lagi, Mat mula menjadi tidak tentu hala. Manakan tidak. Pancing sudah lama tidak berlabuh. Ikan sudah lama tidak bertarung. Kami berhenti sekejap dan mencuba untuk berkenal-kenal dengan ikan di tasik Lenggong.

            Namun mungkin dek kerana ayat kami tidak power dan muka kami kurang hensemnya, maka ikan-ikan di tasik tidak memakan umpan buaya darat kata mereka. Mungkin juga ikan pun belum bangun awal-awal pagi. Best sangat-sangat sebab tasik itu seolah-olah berasap. Macam dalam cerita seram la pulak. Very de Harry Porter. Aku turun naik atas sampan. Walaupun berjubah..pergh…macam pendekar dalam cerita Kung Fu..cuma tak sempat jalan atas air.



          
  Apapun Lenggong buatku tenang sebentar dari traffic jam. Dari asap kereta. Dari bunyi hon. Semuanya sunyi. Namun ramai sebenarnya orang di Lenggong yang seronok datang ke KL. Dan aku dari KL seronok datang Lenggong. Kesimpulannya, manusia sentiasa ada sahaja yang tidak cukup sempurna baginya. Bila hujan dikatakan rosak program. Bila Kering dikatakan panas…Oh Allah..maafkanlah insan mu ini kerana banyak sangat komplen.


Wednesday, February 16, 2011

Awekku Curang di Hari Valentine


            Menunggu dan terus menunggu. Aku berjalan seorangan di tingkat atas Kompleks Bukit Jambul. Di antara B Bowling dan Great World tempat permainan terdapat anak tangga menuju kawasan meletak kereta. Tiada siapa yang melalui kawasan tersebut. Melainkan budak-budak sekolah bersama geng-geng mereka yang jadikan itu ‘port’ untuk menghisap rokok.
            Di dalam pelukanku terdapat sekotak kek. Aku menempahnya di kedai tingkat bawah. Aku menanti heroin datang. Janji yang diikat baru setahun adalah suatu yang cukup indah. Apatah lagi kali pertama meraikan hari kekasih. Dan inilah Hari kemuncak bagiku untuk menyatakan yang “Asy Tidak Lupakan Mira(bkn nama sebenar)”.
            Dari pandangan atas. Aku menanti setiap manusia yang menaiki tangga esculator. Mana perginya orang yang ku rindui. Perlahan-lahan aku membuka kotak kek. Dan tersenyum melihat kata-kata diatas kek itu. “Cayang Mira..Muaahh”….tulisan yang aku tempah itu telah membuatkan akak kedai kek itu ketawa kecil. Teringat katanya.
“Wah…tak padan dengan janggut macam ustaz, jiwang jugak dik ni” sinis akak kedai kek sambil memjam mata.
“Janggut jer macam ustaz. Orangnya tak ustaz pun.” Aku mula cover line untuk merahsiakan identity yang aku nih memang sebenarnya pak ostat”
“Biasalah tu, kalau akak pun mesti hepi dapat kek macam nih..tapi balak akak tu keras hati betol macam kayu balak. Tak romantik langsung.” Akak kedai kek tu dok buat ayat simpati la pulak.
“Agak-agak akaklah…kalau adik yang muda nih amik akak jadi girlfren boleh? Hahah..Aku buat ayat kencing manis sekejap.
“Wow…dapat pakwe muda dari akak? Mesti la mau. Kalau orang tanya akak jawabla ko nih anak ikan akak!!” Ketawa besar akak yg tak kurang comelnya tu.
“Wow bangganya saya ada mak ikan!!...boleh, boleh, boleh…”
            Aku pun keluar dari kedai tadi dengan satu senyuman yang menjadi trademark aku. Senyuman yang bolehla dianggap senyuman agak menggatal. Walaupun hati teringatkan Mira. Sekali sekala, mengorat awek baru best la jugak.
            Mataku terpandang seorang wanita chubby yang mula menaik tangga esculator. Berbaju hijau muda. Bertudung litup. Dengan memakai seluar ringkas. Dari jauh ternampak wajah seorang wanita yang sejuk mata memandang. Aku sedari, walaupun Mira seorang gadis kampung, dan tidaklah up to date bajunya. Namun dek kerana dia hilang yakin aku pada gadis Bandar, maka aku menganggap Mira la penyejuk mata.
            Di dagu Mira terdapat tahi lalat yang sangat cantik. Pipinya yang tembam dan kulitnya yang putih licin membuatkan aku tergelak seketika. Dalam hati berkata. “Lepas kahwin ni mesti makin tembam pipi awek aku”.
            Aku menelefon Mira. Dia yang berada di tangga esculator kelam kabut menyeluk seluar.
“Salam Mira..kat mana tuh (soalan yang buat-buat tak tahu)”
“Mira kat Bukit Jambul ni ha…Asy kat mana” Tanya Mira
“ Asy ada kat atas ni…cubala jelling-jeling kat atas…ada nampak dak mamat macho baju hijau tua kat sini?”
Mira mencari-cari. Mendongak ke tingkat atas kompleks Bukit Jambul. Mata galaknya mula mengecil. Aku tahu. Dia tidak akan nampak aku disebabkan aku menyorok disebalik tembok.
“Naik tingkat atas nanti, datang ke tangga yang nak pi ke parking tau” Pesan aku kepada Mira.
“Haa…ni yang tak nak nih…ajak pergi tempat yang sunyi-sunyi…” bunyi merengek manja kononnya tak biasa.
“ Ala….takkanlah ustaz nak buat benda tak elok…orang nak bagi hadiah paling special hari nih..” aku menggunakan yat seorang ustaz yang amat bahaya….
“Hadiah apa?...Asy jangan memain…kat atas  tu ramai pak guard..” Mira mula menunjukkan kerisauan.
“HAhaha…ada laa…..Mai la sini dulu..belum cuba belum tahu..dah kena nanti mesti nak lagi...senang cerita “Sungguh enak dimakan begitu saja!!! ( lagu iklan Gardenia)”..Aku sengaja buat Mira takut.
            Mira yang comel berlesung pipit datang menghampiri ku. Walaupun cakapnya sebentar tadi bunyinya seakan takut. Namun itu hanya mainan kata-kata seorang wanita. Kononya malu dan tak biasa. Tapi bila disisi kekasih, tiada lagi gerunnya. Yang ia tahu. ‘aku adalah milikmu segala-galanya’.

            (gambar hiasan)

Tangan Mira disambut. Aku terus membawa Mira ke tingkat atas. Aku membawa Mira ke kawasan yang terbuka di tingkat atas parking Kompleks Bukit Jambul. Kawasan yang tidak ada sesiapa. Boleh saja aku buat apa yang aku mahu pada Mira. Namun bukan itu plan aku hari ni. Menyambut hari kekasih dengan penuh kasih. Ingin dibelai gadis kampung ini dengan layanan manja. Mira tidak pernah mengalami saat-saat sebegini.
            Kami sampai di tempat yang aku sediakan. Kain saprah yang aku hamparkan terbang ke tepi dinding kerana kuatnya angin diatas bumbung kompleks ini. Cepat-cepat aku menarik semula dan menjemput Mira duduk dihadapanku.
“Mira…duduklah..kata nak sambut Valentine..” aku memujuk
“Asy buat apa nih..Ya Allah..segannya Mira. Ni betul ke nih..romantik kalah mat saleh..”

“Hehe…ni la hero Hindustan Malaya..hahah..dah dah..duduk jer..ni Asy belikan kek untuk Mira..jeng jeng jeng…” Aku mengusik.
            Kotak kek dibuka dihadapan Mira. Wajah yang sebentar tadi kontrol keayuan mula senyum yang ia sendiri tidak sedar. Kelihatan bibirnya seolah menelan air liur teruja. Wajah manis Mira terpaku melihat kek tersebut. Mira mengangkat kepala. Matanya yang bulat memerhatiku. Renungan dari seorang gadis kampung yang lema lembut ini menampakkan cahaya dari matanya. Seolah baru sebentar tasik terbina di dalam matanya.
“Terima Kasih Asy…Mira tak pernah rasa seronok macam nih”…lembut kata seorang gadis bernama Mira.
“Asy buat nih..tak lain dan tak bukan sebab Asy nak Mira rasa dan tahu yang Asy memang sangat-sangat menyayangi Mira”…Aku melafazkan dalam mata terus menangkap mata Mira.
            Ya….Aku tidak pernah mengalami saat indah seperti ini. Wajah Mira masih terbayang di fikiranku. Wanita yang aku kasihi dulu sudah tiada lagi.
Kini tanggal 14 februari 2011, aku terbayang akan Mira. Sejarah dua tahun lepas membuatkan aku mengenang kembali zaman remaja gatalku. Tarikh ini amat bermakna buatku. Kerana ianya tarikh aku menatap wajah ayu gembira seorang wanita. Dan pada tarikh ini aku menatap wajah senyuman sinis juga dari seorang wanita.
            Tahun lepas. Aku berjauhan dari Mira. Aku menetap di Kuala Lumpur. Cinta dari jauh. Dan Mira mula mengenal rakan sebilik dengannya yang agak kuat beragama. Mira belajar di Kolej di Pulau Pinang. Rakannya seorang yang selalu mengikuti kuliah di sekitar Pulau Pinang. Mira yang asalnya tidak bertudung labuh, mula memakai tudung labuh. Bagiku ianya satu yang sangat baik.
            Cumanya, deringan telefon tidak seperti dulu. Hanya aku yang menelefonnya. Caranya menjawab seolah tanda kesian melebihi kasih. Mira tidak seperti dulu, Ia lebih banyak berdiam diri dari riang seperti dulu.
            Aku mengagak sesuatu pada Mira. Adakah Mira yang jauh itu sudah mempunyai teman lain dihatinya. Namun pengalaman aku seorang ustaz, berkata sebaliknya. Jawapannya Mira sudah berubah. Lebih berubah kearah kebaikan. Jauh  dari lebai dan kopiah seorang ustaz sepertiku. Aku mengerti. Dia sudah menemui cinta sebenar. Cinta yang aku tidak dapat menghalangnya. Kerana aku faham agama. Kerana aku sekolah agama. Kolej agama. Mana mungkin aku menghalang cintanya.
            Aku membuka kembali lembaran surat yang pernah dihantar kepada pada tanggal 14 Februari 2010. Surat yang cukup pendek dan padat. Surat yang membuatku menghormati keputusan Mira buat selamanya. Kertas yang buatku menilai kemuliaan gadis bernama Mira. Percayalah Mira. Asy sedikit pun tidak cemburu dengan cinta barumu. Asy percaya inilah curang yang mulia. Ketidaksetiaan yang hebat telah Mira buktikan.
            Suratnya ringkas tanpa berbunga :
“Salam buat Asy..Hari ini hari kekasih yang disambut ramai orang seperti kita…Maafkan Mira kerana tidak dapat menyambutnya seperti dahulu. Sebenarnya hari ini Mira akui kecurangan hati Mira. Mira sudah dimiliki. Mira sudah mendapat cinta baru. Kekasih baru. Cinta yang lebih hebat dari kotak kek diatas tempat letak kereta di Kompleks Bukit Jambul….Cinta lebih indah. Semoga Asy sedia menerima kekasih Mira melebihi kasihnya Mira pada Asy…”
Aku terpaku dengan teks surat yang ditinggalkan rakan rumah sewa Mira. Dengan segera aku bertanya kepada Mira melalui SMS.
“Mira kat mana sekarang?..Maafkan Asy jika bertanya..” SMS pertama dariku.
“Mira sedang bercinta di hari kekasih bersama kekasih” SMS dari Mira yang bagiku langsung tidak rasa bersalah.
“Siapa kekasih Mira sebenarnya nih?” Aku mula bernafas kencang. Sedikit kemarahan mula terasa.
“Maafkan Mira Asy..kekasih Mira kasih yang abadi..siapa lagi kalau bukan seorang lelaki bernama Muhammad SAW!!!”…..
            Aku langsung tidak membalas SMS itu. Seoalah tiada prepaid walaupun memakai postpaid. Aku terpaku. Adakah hati ini perlu ada cemburu. Adakah kecurangan ini perlu aku halangi. Kerana kekasih Mira bukanlah teman rapatku. Bukan juga saudara rapatku. Namun kekasih Mira adalah kekasihku jua. Itulah kekasih bagi setiap insane beriman. Aku terpaku seolah baru menuntut ilmu agama. Wahai Mira…”Aku juga mengasihi kekasihmua..aku terima kecurangan ini…


 


 (gambar hiasan)

Tuesday, February 15, 2011

Ana Pakai Kasut Mawi Syeikh!!


Aku tidak pernah menonton AF1 dan AF2. Walaupun kisah tangisan realiti TV itu menjadi perbualan ramai. Namun, masuk AF3, dengar bunyi dari member-member katanya, ada seorang mamat Felda yang pandai bertarannum. Pandai berzanji. Malah muka suci katanya. Ehem-ehem..

            
Terasa dalam hati ingin sekali menonton AF3. Tapi apakan daya, piring Astro tidak mampu dilekatkan di bumbung rumah. Entah dari mana datangnya rezeki, saya bersama geng-geng lama Maahad Tahfiz Penang sedang lepak di Restoran Nasi Kandar di Bandar Perda Permatang Pauh, tiba-tiba terjebak dalam aktiviti menonton AF3 bersama student Politeknik Seberang Perai. Aku pun tidak paham kenapa mamak stall yang terkenal dengan siaran EPL nya, boleh menjadi ‘mat Flower’ dengan menyajikan siaran LIVE AF3 di Astro.

            
Semua penonton menyebut-nyebut kelibat seorang mamat yang katanya ada ‘Aura’. Kebetulan, muncullah manusia yang disebut-sebut ‘world’ itu. Pertama kali aku menyaksikan Akademi Fantasia. Dan persembahan tersebut datangnya dari insan Felda berjenama MAWI. Bersama dengan spek besar yang terletak diatas kepala botaknya. Beliau menyanyikan lagu ‘Oh Fatimah’.

           
Hadirin terpukau. Hampir satu lagu beliau menyanyi tanpa menari. Yang ada hanya goyang sebelah kaki dan kepala. Satu stadium menjerit-jerit namanya. Aku amat pelik. Ya….terlalu pelik. Apa yang peliknya?...Sebab inilah pertama kali aku terpacak bulu roma melihat persembahan yang terlalu ber‘Aura’ dari lelaki bernama MAWI.

          
Kepada MAWI. Terus terang cakap. Wa memang minat sama lu. Suatu masa dahulu. Kerana terlalu minat akan MAWI, aku sanggup membotakkan kepala. Satu masa dahulu, kerana terlalu minatkan MAWI aku sanggup menghafal lagunya. Satu masa dahulu, aku sanggup membeli majalah hanya kerana gambar wajahnya.

Mungkin ada yang akan berkata, itu sejarah masa lalu. Mungkin juga yang berkata, itu MAWI masa dahulu. Mungkin sekarang tidak lagi. Surat khabar mula menyatakan popularity beliau sudah merudum. Nama beliau sudah tidak tersenarai didalam Anugerah Bintang Popular baru-baru ini. Namun, terkenang beberapa sejarah yang berlaku sepanjang hidup ku. Rahsia malam Final Imam Muda 2010. Ramai yang tidak tahu rahsia disebalik tabir sebelum persembahan dan sepanjang perjalanan Imam Muda.

Aku teringat, sewaktu Abang Hermy selaku pereka Fesyen Imam Muda datang membisik ke telingaku. 

“Asyraf..nak dak pakai kasut McDonald? Tanya Abang Hermy.

“Isy…tak nak lah. Saya nak pakai kasut saya sendiri ni ha.” Jawabku.

“Ambik jer kasut besar nih…kasut ni ada AURA!!” kata Abg Hermy.

Abg Hermi meletakkan kasut yang dikatakan ada AURA itu dihadapanku. Sekali menjeling, sudah tahu ianya besar. Tiba-tiba mata ini seakan-akan terbeliak. Di dalam kasut tersebut, terlekat pelekat yang tertulis menggunakan marker pen perkataan ‘MAWI’.

“Abg Hermi!!!...kenapa ada lekat nama MAWI di kasut nih?” tanyaku.

“Haa…tu la kasut yang Mawi Pakai waktu Final AF3 dulu..!!!” semangat kesukanan jawabnya.

“Abg Hermi…confirm..saya nak pakai kasut nih. Besar macam McDonald pun tak kesah…Janji..ni kasut MAWI”. Aku menjawab dengan kesungguhan.

            
Itulah kisahnya, betapa minatku dengan MAWI. Bukan nak memuji sebab tersimpan makna. Namun sekadar kongsi cerita sebelum mata terlena.
            
Yang lebih teruja, beberapa hari selepas dinobatkan sebagai Juara Imam Muda 2010, aku dihubungi dengan satu panggilan. Dalam keadaan setiap 3 minit aku terpaksa menjawab panggilan daripada ramai kenalan lama dan baru. Dan betapa sukarnya  untukku mengangkat telefon dari nombor yang tidak dikenali. Namun, entah kenapa tangan ini gatal untuk mengangkat telefon dari panggilan nombor yang tidak dikenali.

“Assalamualaikum imam…apa khabar..sihat?”

“Waalaikumsalam..siapa ni? Tanyaku.

“Saya waktu malam final Imam Muda, saya ada di sebelah kanan dewan. Tapi tak sempatla nak jumpa malam Final Imam Muda hari tuh” kata lelaki suara jantan itu.

Dalam fikiranku, entah berapa ramai yang cakap dia tak sempat nak jumpa aku pada malam Final. Ini mungkin orang yang keberapa belas. Tapi aku cuba melayan mamat ni. Dengan keadaan terbaring bersama kain pelekat di lantai dek kerana keletihan.

“Owh…ok…boleh saya tahu siapa ni?” tanya saya untuk dapatkan kepastian sekali lagi.

“Hehehe…saya MAWI!!!!” jawab lelaki itu gaya berseloroh.

“HAAA?? Mawi mana nih?..MAWi Akademi Fantasia ka?”

“Yer la Imam…Ni Mawi AF la..” Ketawa besar Mawi.

 Aku terus bangun dari tikar sejadah..berlari kesana kemari. Entah kemana hendak ku pergi. Aku pun tak tahu destinasi. Mungkin ingin buat jamak qasar sebab nak bermusafir. Dek kerana terkejut insane yang amat diminati…MAWI..sedang bercakap dengan aku ditalian telefon..

“Imam…jaga bebaik yer number nih..” pesan MAWi..


“Orait Mawi…pasti..pasti…jaga bebaik punya..” Aku memberi surat jaminan dari suara.
Teringat apabila ada orang yang bertanya kepada saya. Apa rahsia anda boleh Berjaya jadi Juara Imam Muda?
Jawab saya ringkas…

“Ana pakai Kasut Mawi Syeikh!!!”
           
            

Sunday, February 13, 2011

Sepagi di Rumah Amy Search


Lagu Isabella benar-benar berhantu. Fantasia Bulan Madu membuat telinga terpaku. Itulah kuasa seorang pencetus Aura Rock Malaya. Abg Amy Search peewwiiitt..


Siapa yang tak kenal Lagenda Rock ini. Dengan gaya tersendiri. Baju yang menampakkan identiti diri. Lenggok cakap yang penuh dengan irama tersendiri. Kolar yang sentiasa ada taringnya. Cincin dijari lambang bangkitnya. Celak di mata menampakkan renungan tajamnya.





Jiwa rockersnya tetap dihati. Sehinggakan abg Amy membeli tiket Konsert Iron Maiden di Singapura pada 15 Februari ini di Singapura. Tapi yang paling respek dengan abang Amy, bila dia cakap dia dah jual tiket konsert tu semata-mata tarikh tersebut sama dengan hari Maulidurrasul!!! Sedangkan ramai lagi warga Kuala Lumpur yang berpusu-pusu membeli tiket ke Singapura untuk menyaksikan konsert tersebut kata isteri beliau. Kepada rockers2 diluar sana. Adakah anda lebih rockers dari Lagenda Rock Malaya??? Adakah anda mampu lakukan seperti Abang Amy Search dengan menjual tiket semata-mata kerana Maulidurrrasul?


Dah puas makan Nasi Lemak Kopi 'O' bersama Abg Amy. Kami berposing macam Hero Padang Pasir. Ada sekali serban kawe tak berapa menjadi. Abg Amy tolong betulkan.... Sepatutnya Imam yang expert pakai serban. Tapi Abg Amy plak yg tolong betulkan. Teruja....


Abg Amy cerita pengalaman dia bergabung dengan Ustaz Asri Rabbani dalam mendendangkan lagu Meniti Titian Usang yang benar-benar menyentuh jiwa. Abang Amy Search tanya kawe :

Abg Amy : "Ustaz boleh menyanyi dak?
Aku          : Menyanyi? boleh setakat ikut karaoke boleh la. (dengan nada merendah diri kononnya)
Abg Amy : kalau boleh menyanyi, ok lah..

Bualan pendek ni buatkan aku bertambah terfikir. Menyanyi???...Orait jugak..bila lagi nak test power?heheh...tapi kena lagu ketuhanan la..

Sebelum balik....

Abang Amy : Senang-senang call lah Abg...
Aku              : InsyaAllah...
Abang Amy : Ni abang bagi number fon kat ustaz..013-29#$^&*......rahsia beb...

Aku dan abang Amy masing-masing main miskol...personal number bro...aduh...terharu..

Kisah pertemuan ini sangat indah. Antara dua versi. Imam dan Rockers. Namun terpancar dilubuk hati sang Rockers ini untuk menjadi baik. Kisah percintaan beliau di Tanah Suci Mekah benar-benar menyinar. Semoga Abang Amy terus memancar...Doaku untuk Abang Amy..

Friday, February 11, 2011

Dari Hati Lebih ke Hati...

Salam buat diriku dan juga dirimu...
yang mula mencari waktu
Walaupun ianya amat cemburu..
Berkongsi kisah bukan membuka..
bercerita bukan sang penglipur lara..


Namun ada bekal yang boleh diberi
Ada insan yang sedang memerhati..
Apalah kiranya luahan hidup jadi novelnya..
buat pedoman semua manusia..
Aku bukan hanya pencerita..



Aku juga mahu melepaskannya..
Dengan memakai stokin putih
penahan sejuk dingin malam..
Yang sentiasa dijaga bersihnya
Walau ia setaraf lantai
Namun ia cukup bernilai..

Aku menulis dari hati..juga untuk hati..
kerana menulis dari pena hanya dapat dibaca mata..
Menulis dari hati lebih dekat kepada hati..

Dari Hati Lebih ke Hati...

Salam buat diriku...yang mula mencari waktu