Pages

Monday, March 14, 2011

MoU SAYUQ : Peritnya Ke Kampung Perik Kuala Nerang

Dalam perjalanan menuju ke rumah Mat yang penuh cubaan dugaan ku pasrah ku akur….

            Mat merupakan seorang bekas mahasiswa moden. Walaupun tinggal di kampung yang jauh dari kemodenan, Mat tetap dengan modennya. Kasut Gucci nya, Dompet Tough nya, tali pinggang Armani Exchange, Kemeja Paul Smith, Seluar Levis dari USA ( versi bundle Big E ), Stokin Calvin Klein ( tak boleh lawan blog stoking putih) dan jam tangan Tag Heuer nya. Beliau kaki bundle. Tangan juga bundle.

            Bergaya bukan main sakan. Bila dibuka almarinya penuh dengan barangan branded. Hanya aku yang masih memakai barang pasar malam.

“Wei..aku tak larat la nak turun Alor Staq…hang mai amik aku kat umah aku…Kampung Perik” kata Mat bunyinya agak sayu.
“Jauh nya kampung hang tu…nak kena masuk hutan dulu…”Aku membalas tanda malas.
“Tak jauh mana aih…sup sap sup sap dua batang pokok getah dah sampai umah aku” Mat menunjukkan semangat kerajinan.
“Ok la...ang tunggu hero Malaya masuk kampung hang…Jangan angkut geng kompang pulak..aku tak mau…aku kan pemalu orangnya” Aku tersenyum kononnya tip top.
“Ni mai ja la….tadak sapa nak sambut hang aih…dok buat femes gila-gila pulak…orang kampung aku bukannya kenai hang pun…Astro pun depa tak layan…TV Siam lagi best” Mat cuba membuktikan kealiman penduduk kampung Perik Kuala Nerang Kedah.

            Dalam perjalanan yang penuh onak dan duri, menongkah bukit-bukau, alor dan batasan, sawah bendang….akhirnya sampai juga ke kampung yang penuh dengan kepermaiannya itu.

            Mat yang serba moden itu dengan hanya bertuala keluar menyambut aku. Sikit pun tidak ia berasa keraguan bahawa badannya tidaklah sehebat Malek Noor.

“Mat…punyalah jauh kami mai…ada apa yang best sangat kampung hang nih…Tesco ada dak?” aku menggomel
“Hai…perli nampak..kampung aku nih walau tadak Tesco, namun ianya tetap menjadi pujaan hati rakyat Malaysia….kat penang hang ada dak tanam sayuq belakang rumah?” Mat bertanya bagaikan peguam.
“Selama aku hidup nih tak pernah aku tanam sayuq belakang rumah…yang aku pernah sekali tanam kucing mati” Aku menjawab bagaikan cerita seram penuh khurafat.
“Haa….jom kita pi belakang umah aku tengok sayuq…lepas tuh kita boleh buat MOU. Kot2la hang nak beli hartanah aku!!” Mat berucap bangga. Ia terlupa ia hanya bertuala. Sedangkan aku bila-bila sahaja boleh meragut tualanya disebabkan kebanggaan beliau dengan kampungnya.
 Akhirnya termeterai MOU persefahaman antara kedua belah pihak....
“Relax dulu…pekena cucuq meneram (ejaan yang tak pasti) dulu…bukan senang nak pi pekan Rabu beli. Dah la parking payah” Din meragut makanan dengan gaya seroang yang sangat lapar. Mentang-mentanglah baru balik dari Mesir.

            Kami meneruskan perjalanan pusing-pusing kampung. Menuju ke Universiti Utara Malaysia. Kononnya mahu makan angin disana. Melalui hiruk pikuk jalan yang sangat bercahaya. Dengan angin indah dari sawah bendang. Redupan di bawah rimbunan pohon yang sangat indah. Indahnya…indahnya …indahnya…walau tiada Tesco!!...

            Aku datang sebagai orang Bandar masuk kampung. Perjalanan yang aku sukai apabila menghayati matahari sedang turun. Wajah-wajah kanak-kanak yang bermain basikal di batasan jalan. Petani yang menghalau kerbau mereka. Terasa seronok sangat-sangat masuk ke kampung.

Din yang juga ikut rombongan dengan aku mula menggatal.
“Nampak gaya Mat…aku kena cari bakal Isteri dari kampung Kuala Nerang sorang.” Din menunjukkan wajah penuh pengharapan.
“Ha…mau tau la…kami kat sini makan beras Siam…sebab tu comel tuh..licin macam kulit muka aku nih” Mat bergaya model Maybeline.
“Mat…hang duduk diam-diam Mat…jangan dok buat gaya eksotik petang-petang nih…nanti aku toreh muka baru tau…Walaupun getah sekarang mahai, namun mukamu tetap menjadi pujaan torehku” Aku memberi amaran tsunami tanda kemurkaan kepada Mat.
           
Aku mula merenung beberapa kisah antara agama dan tumbuhan. Manusia sering menganggap merosakkan tumbuhan itu bukan kesalahan dalam agama. Kadang-kadang kita diakatakan memperjuangkan agama, namun dari awal-awal lagi tertewas dengan gerakan ‘Kehijauan’ di Barat sana. Kenapa bukan orang Islam yang memulakan ‘Earth Hour”. Kenapa di Negara Barat terlebih dahulu wujudnya gerakan Pencinta Alam. Kenapa bukan kita yang memahami erti cintakan Bumi ini mendominasi penjagaan keindahan yang sering dituturkan di dalam al-Quran?

Tuesday, March 8, 2011

Back To School : Rahsia Pagar Sekolah


Aku balik semula ke sekolah lama. Tempat lahirnya mamat yang penuh dengan kisah ‘teroris’nya. Sudah hampir separuh tahun aku tidak berpeluang untuk kembali ke sekolah lama. Tempat aku menagih simpati sang guru kerana ilmu mereka. Siapa yang berani dustakan kehebatan dirinya berasal dari guru.

         
   Entah berapa banyak line ‘adidas’ yang pernah terpalit di peha, betis, tangan dan banyak anggota badanku. Akibat terlalu ganas menongkah pagar sekolah. Istilah ‘fly’ sudah biasa. Menonton bola Piala Dunia di kedai Pak Ujang. Makan nasi ‘koboi’. Nasi putih, sup kosong dan telur dadar. Ada sos sikit pun dah dianggap bak ‘Victoria Station’.
“Tajul..wei malam nih game best wei..jom kita pi tengok kat kedai Pak Njang” Idea pemimpin Umat bernama Affan.
“Tak Mau la aku. Semalam budak Form 4 dah kantoi dengan Ustaz Sobri tengok bola kat kedai Pak Njang” Jawab Tajul dengan muka tanpa sifat keperwiraan.
“Wei…ni World Cup 1998 tau. Terlepas game ni hang kena tunggu 4 tahun lagi. Zaman sekarang ni, ramai yang dah mati waktu muda. Hanya Allah mengetahui ajal kita” Affan berdialog bagaikan penceramah bebas.
            Aku memandang Affan. Apa kena mengena game bola malam nih dengan kematian? Namun aku faham. Inilah ayat budak sekolah agama. Aku perlahan-lahan menghampiri kedua-dua ikon remaja tersebut.
“Agak-agak la, kalau kita fly petang ni juga ok dak? Kita pi Kompleks Bukit Jambul main game. Lepas tu, kita lepak sampai malam tengok bola kat kedai nasi kandar Kassim Mustapha”. Aku memberi idea sambil mengangkat kening. Kononnya idea aku inilah yang paling bernas dan bombastic.
“Haaa…yang tu aku setuju. Kalau keluaq dari awai ke Bukit Jambul aku setuju. Dah lama jari aku tak test main game Tekken 3 nih…aku baru balajaq buah HeiHachi baru. Jom…Lani jugak aku niat musafir!!”..semangat Tajul menyokong pandangan cerdas aku.
“Aku on ja…lagipun petang nih makcik kantin cakap kat aku lauk ikan curut dengan kacang panjang ja. Memang ‘not my taste’.” Affan pun mula setuju dengan mulianya.

            Seluar slack kaki besar warna hitam yang ditempah di Jefferson zaman sekolah dulu mula diambil dari ampaian. Pada bahagian poket seluar belah dalamnya tertulis dengan marker pen MAR. Maksudnya Muhammad Asyraf Ridzuan. Biasalah duduk di asrama. Kalau baju atau seluar tak ada nama, nanti cepat saja nak hilang. Budak asrama kan sentiasa pegang prinsip “SeluarMu SeluarKu Jua”.


           
Hari ni aku nak tuang prep. Aku, Affan, Tajul mandi dalam tandas yang sama. Cuma berbeza biliknya. Dalam hal ni tiada prinsip “…Mu…Ku…Jua”. Sambil shower menjunam diatas kepala, kami menyanyikan lagu sekolah. Walaupun nadanya tidak semerdu. Tapi sebagai semangat patriotic terhadap sekolah, iringan suara itu berpadu. Bagaikan Isabella 98. Amy, Saleem, Zamani dan Jamal. Sudah semestinya aku amik part Zamani. Kerana aku perasan hensem.
            Melangkah keluar dari bilik mandi. Membawa bersama cebok yang penuh dengan ubat gigi, shampoo, berus gigi dan pencuci muka. Biasalah. Muka waktu tu banyak jerawat gatai.
            Dalam dorm kami, aku mengambil bedak Tajul tanpa meminta izinnya. Kerana sudah maklum locker beliau adalah locker wakaf. Bedak Follow Me yang laku dek kerana iklan dari Azhar Sulaiman. Rambut disikat belah tengah bak budak skema. Namun dulunya belah tengah menjadi trend. Kononnya aku perasan nak rambut macam Leonardo Di Caprio dengan Kate Winslett dalam filem Titanic.
            Baju kemeja kotak yang longgar disinting tangannya. Kasut ‘LOFER’ ( aku pun tak tau macam mana nak eja) warna kulit coklat disarung. Topi Cap jenama Billabong dimahkotakan di kepala ini. Walaupun sayang jambul rambut yang amat indah ketika itu. Beg jenama Haitop digalas. Walaupun tiada satu barang apapun dalam beg tersebut. Mungkin bagi aku kononnya stylo.
            Si Affan dan Tajul sedang mengangkat almari. Ditarik dari bawah almari mereka seluar jeans. Bawah almari adalah tempat yang sangat selamat untuk mengelakkan dari kena rampas bila spotcheck. Biasalah…sekolah agama mana boleh pakai seluar jeans. Aku teramat teringin untuk pakai seluar jeans waktu tu. Tapi apakan daya. Mak dan abah tak kasi. Ayat cerita sedih.
            Perlahan-lahan kami melangkah keluar belakang asrama. Melalui celahan ampaian. Ada mata yang melihat. Namun, seolah-olah tidak nampak. Jika di sekolah asrama, siapa yang buka cerita report dekat warden, memang dianggap hina. Siap-siap boleh kena makan sabun mandi dengan senior.
            Di sekolah aku ada dua tempat yang menjadi laluan bagi pelajar-pelajar yang nak ‘fly’. Satunya pagar yang sudah digunting di hujung bangunan sekolah. Satu lagi tembok belakang asrama. Hasil percambahan minda, kami bertiga memilih untuk menggunakan laluan tembok belakang asrama.
           
“Wei Acap…hang tolong ambik kayu tu sat. Aku nak lapik bagi tinggi. Seluaq jeans aku ketat la. Nak langkah pagaq tak lepaih.” Arah Tajul bagaikan diala ketua Kongsi Gelap ketika itu.
“Ok lani aku langkah dulu. Ampa tolong angkat aku naa…aku kan insan yang paling kecik kat sini.” Aku menunjukkan muka simpati. Supaya aku diampu kaki untuk mudah melangkah pagar sekolah.
“Owh…mana boleh. Asyik tu ja modai hang. Setiap kali nak fly, hang selalu lepas dulu. Kami ni kemudian.” Affan meluahkan kata tidak setuju. Sambil gaya lenggok cakap mamak yang menggelengkan kepala.
“Ya la…takkanla aku yang kecik nak angkat ampa yang besaq dinosaur nih. Yang dulu tu sudah la…Usahmu Mengungkit Kisah Lama.” Aku memberi harapan Negara kepada Affan dan Tajul.
“Okaylah…kami angkat hang dulu. Lepas tu hang pegang beg kami na..” Ujar Affan dan tajul.
“Canteeekk…macamtulah dinamakan sahabat sejati kekal abadi…” Aku senyum manis sambil bermain mata dengan mereka.

            Aku diangkat melangkah pagar batu belakang sekolah. Tingginya hampir 7 kaki. Sesuai dengan budak nakal. Namun bagi aku, lagi tinggi lagi kujejaki. Kononnya motivasi diri. Makin tinggi cita-cita makin kuat impian.
            Bedebuk…!!!! Macam buah nangka busuk. Aku terjatuh dari tembok tadi. Aku tidak sempat nak landing macam AirBus. Panjat macam hero. Jatuh macam Zoro. Terdengar bunyi ketawa yang amat ikhlas dari Affan dan Tajul. Mereka ketawa bagai nak roboh tiang Taj Mahal.
“Wei…ampa gelak kat aku noh…mentang-mentang aku jatuh macam Zoro.” Aku menjerit dari luar tembok sekolah.
“Hahah…padan muka…nak sangat kami angkat hang kan. Sapa suruh landing tak kepak sayap. Kan dah jatuh.” Affan berkhutbah sambil ketawa.

            Tiba-tiba, dari jauh terdengar panggilan seorang yang amat ku kenali suara emasnya. Menyusup, menyelinap terus ke lubuk hati lalu menggetarkan jiwa serta betis keringku.

“Woi!!!!...ampa nak lari mana?” Serkah Ustaz Sobri jauh dari hujung tangga bangunan kelas.
            Aku terus tunduk bagaikan askar rejimen Melayu. Terdengar bunyi tapak kaki yang lari 100km/jam. Affan dan Tajul lari tak ingat dunia mahupun akhirat. Aku memanggil mereka, namun tidak ada jawapan.
“Ooo..nak fly…Ingat ustaz-ustaz nih tak nampak ek..” Suara ustaz Sobri terdengar semakin hampir dengan tembok sekolah. Aku terasa hanya tembok memisahkan kita.

“Asyraf!!!!...ingat ustaz tak nampak. Mai sini, bangun..” Panggil ustaz Sobri.
            Aku mendiamkan diri. Kelu seribu bahasa. Hati terasa bagai ditusuk sembilu. Aku mula mengangkat kepala. Rupa-rupanya, kelihatan wajah ustaz Sobri sedang memerhati dari atas tembok. Dengan senyuman manisnya. Membuatku tergoda. Jelingan manjanya buatku tertawan. Sungguh kau memang menawan.
“Nak lari mana Asyraf…sekolah kita nih bukan besar mana. Sini sekolah. Buat apa nak panjat tembok. Pintu depan kan ada. Bukannya kem PLKN nak kena panjat tembok.” Panjang betul tazkirah zohor dari Ustaz Sobri kali ini.
“Baik ustaz….ok-ok..saya panjat balik tembok ni ustaz.” aku dengan terketar memanjat tembok tinggi masuk semula ke kawasan sekolah.
“Mai sini…(Sambil tangan memulas telingaku) ikut Ustaz…Kamu nak keluar pergi mana dengan topi, bag semua nih.” Tanya Ustaz Sobri.
“Nak pi Bukit Jambul ustaz. Nak beli perkakas exam…lagipun exam dah dekat” Aku menjawab dengan ikhlas walaupun berbohong.
“Heheh…dahla panjat tembok sekolah.. ada hati nak tipu ustaz pulak..nak pi Bukit Jambul buat apa sebenarnya nih..cuba setori skit” Ustaz sentiasa nampak ceria walaupun mukanya panas membara.
“Heheh…nak tengok bola malam nih..lagipun game best ustaz malam nih” Aku pun tumpang gaya ceria seolah tidak bersalah.

            Agakan aku tersasar. Ku ingatkan ustaz yang ceria itu mahukan rundingan damai. Rupanya bertukar kepada serangan hendap. Di belakang tangannya terselit rotan hikmat. Bersilau apabila dipancar matahari. Terlihat kegagahan pada rotan tersebut.
Ustaz memimpin tanganku. Memegang bak seorang kekasih menyarungkan cincinnya.
‘Srrriiiiiiaaappppp!!!! Srrriiiaaappp!!! Sriiaappp!!
            Adoi Ustaz…sakit ustaz…ustaz merotan tepat kearah belakang betis aku. Terpahat 3 line Adidas. Merah menyala. Membentuk satu hakikat kebenaran. Tersemat ikatan kesalahan.
“Dah balik bilik…masuk prep…ustaz bagi can..lenkali masuk buku disiplin..nasib baik hari ni mood ustaz baik…pasang Sport Rim kereta baru..” Ustaz tersenyum tanda meredhai pemergianku.
“Baik ustaz..tobat lainkali tak buat dah…” Aku dengan penuh simpati Kami Prihatin mengundur diri.

            Sambil berjalan menuju ke asrama semula. Dengan langkah seorang perwira. Membawa sekelumit bekas rotan di betis. Tiba-tiba terdengar suara merdu Nyanyian Dari Penjara. Menyanyikan lagu ‘Mengusung Rindu’ Achik Spin.
“Sakit Hati…Sakit sekali,…melihat engkau berpimpin tangan dengan Sidia..”
“Sayu hati….Sayu sekali, pa bila rotan yang aku beri tak dihargai…HAHAHHA”…
            Aku memandang tepat kearah cermin tingkap nako di atas asrama. Ternampak empat biji mata yang menghendap. Aku kenal benar suara yang tak sedap itu. Tak lain dan tak bukan suara Tajul dan Affan.
“Kureng betol…ampa biaq aku sorang-sorang noh…” aku mengejar kedua-dua pejuang yang lari dari medan peperangan itu.
“HAHAHAH….hang kata hang TERRAA…padan muka” Affan dan Tajul terus lari.
            Aku tak mengharap untuk bertemu mereka. Terus, menyalin pakaian baju melayu seluar slack. Sambil kepala yang terlekat topi cap ditukar dengan songkok. Kasut ‘LOFER’ ditukar dengan selipar jepun. Menuju ke blok bangunan kelas untuk sesi Prep. Dalam perjalanan, mataku terlihat sesuatu yang amat bermakna. Aku tersenyum indah. Keranamu, diriku ini dihargai. Dari jauh ku lihat kereta Ustaz Sobri yang baru
Terima Kasih wahai SPORT RIM…keranamu kami aku mendakap tuah!!!...





Thursday, March 3, 2011

Cita-Citaku Menjadi Penyanyi Rock




Dulu kecik-kecik aku memang nak masuk TV. Katanya nak jadi penyanyi. Berdiri di bawah lampu di ruang tamu. Aku menyanyi lagu rock kapak sambil menari. Zaman rock kapak sedang menyinar. Mana tidaknya. Di bilik makcik yang menjaga aku semasa kecil penuh dengan kaset lagu rock kapak. Makcik aku sentiasa menyorok kaset dari ayahku. Radio cabuk buruk berwarna hitam yang sudah hilang punat ‘play’ nya sentiasa mewarnai dunia jiran tetangga di Taman Seberang Jaya Pulau Pinang.

            Abah dan mamaku jarang ada di rumah. Keluar pagi balik malam. Waktu abah dan mama tiada, waktu itulah suara radio terkenal itu berbunga-bunga melafazkan ikrar cintanya. Bila abah dan mama balik makcik cepat-cepat tutup radio. Abah cukup teliti untuk pastikan anak-anaknya tak terjebak dalam dunia rock. Abah bercita-cita mahukan anaknya menjadi al-Hafiz al-Quran. Dia tak sedar yang anaknya sudah menjadi al-Hafiz bagi lagu-lagu rock kapak. Balik sahaja dari tadika Islam, terus aku jumpa makcik aku dan siap dengan cover kaset. Aku menghafal lirik yang ada di cover kaset.

            Lagu-lagu Kumpulan Gersang nyanyian Man Bai, Iklim Suci Dalam Debu, Spring Sampai Hati, Di Alam Fana Cinta Fotograf, Karam Zabarjad, Sejati Wings, Isabella Search, Kembali Terjalin Slam, Disana Menanti Di Sini Menunggu Ukays, Mahligaimu Dari Airmataku Lestari, Salam Sejahtera Samudera, Damasutra Umpama Mimpi Koko Jelly dan banyak lagi lagu rock leleh dalam kepala.


Namun waktu itu aku hanya menyanyi di bawah lampu neon di ruang tamu. Sambil makcikku menjadi pengkritik tetap. Walaupun kritikan tidak setajam Adlin Aman Ramli. Aku tetap meneruskan nyanyia ber’mikrofon’kan botol bedak. Sambil tangan memetik raket badminton kononnya pengganti gitar. Namun aku bukan Man Kidal.

            Cita-cita untuk menjadi penyanyi seperti Abang Rahmat Mega dengan lagu Bayangan Gurauan sentiasa terpahat di hati. Melakar sejarah untuk menjadi penyanyi kanak-kanak seperti Mamat dengan Kumpulan Existnya sentiasa menjadi impian.

Itu sejarah ketika tadika dan sekolah rendah. Awek yang aku mengorat pada sekolah rendah semuanya dalam ingatan. Gejala menghantar surat di bawah meja awek sekolah rendah tidak dapat dilupakan. Bermain mata dengan pengawas sekolah di perpustakaan. Mengekori ‘cikaro’ di sekolah lain menjadi kebanggaan. Siapa yang ada awek sekolah sebelah dikira habis macho. Waktu itu aku tidak mengenal cinta dengan orang yang berbeza umur. Kalau cinta wajib dengan darjah yang sama.

            Entah mengapa itu kenangan waktu kecil. Untuk jadi topstar dalam nyanyian. Tapi rupanya abah memilih aku untuk ke sekolah agama. Abah dan mama benar-benar mengharapkan anaknya pandai bahasa Arab. Pandai hukum hakam.

            Dari seorang yang bercita-cita menjadi rockers. Berubah dengan mendadak. Menjadi seorang pak lebai. Kopiah yang tak pernah tertanggal melainkan ketika mandi wajib. Semangat untuk menjadi ustaz mula melebar. Rupa-rupanya Allah memilih aku menjadi seorang pak imam hendaknya. Aku sentiasa meminati sebarang bentuk bacaan al-Quran dari mana-mana syeikh Qari luar Negara. Sehingga sanggup bangun tengah malam merakam bacaan Imam Masjidil Haram.


            Sudah menjadi pasti, pak imam seperti aku hanya menetap di surau dan di Masjid. Menerima undangan majlis kematian dan keramaian. Memimpin tahlil dan selawat skop kerjanya. Mengelilingi masjid sekitar menyampaikan ilmu. Dan keluar dari bilik imam tatkala bilal mula meniup pembesar suara. Kerjaya yang cukup glamour di sisi penduduk kampung. Wajah yang sentiasa tampil dalam dunia broadcast di atas ‘Mimbar’nya. Setiap Jumaat ratusan menatap. Inilah dunia Sang Imam. Bukan untuk mengejar glamour. Namun menjadikan diri mereka dikenali satu kemestian. Agar masyarakat mudah mengadu. Menjadikan diri dimiliki umat.
          
  Jauh sekali cita-citaku ketika kecil untuk menjadi penyanyi kegilaan peminat, dengan bidang agama yang aku lalui. Aku lebih mencintai menjadi Imam dari menjadi penyanyi. Bukan salah penyanyi. Namun hati ini berkata “Aku seorang Imam”.

            Hari ini aku bukan setakat seorang Imam biasa. Aku digelar Imam Muda Astro Oasis. Dan tidak pernah terfikir di benakku untuk berada di kaca TV. Untuk bercakap di hadapan Perdana Menteri. Kata-kataku di dengari di Universiti. Sedangkan aku hanya seorang Imam yang tidak punya apa-apa istimewa. Cita-citaku sewaktu kecil rupa-rupanya menjadi realiti. Namun dalam bidang yang berbeza. Walaupun aku seorang Imam, namun memori lirik lagu ‘Rock Jiwang’ masih diingat. Boleh menjangkau 4 Gigabyte.

            Sehingga kini aku tertanya. “ Ya Allah…mengapa Engkau menggerakkan kakiku untuk ke Audition Imam Muda? Mengapa mudah aku berkata ‘YA’ untuk menyertainya. Sedangkan itu bukan mimpiku. Bukan jua arah kompasku. Namun aku menerima andai ini pilihanMu….